Ada aku kisah?
Posted by Imam Muda Asyraf on May 14th, 2012
“Ustaz,
kenapa bila kita nak buat baik je mesti ada orang yang nak mengutuk?
Cakap kita ni kononnya nak jadi ustazah la, nak tunjuk alim la…” tanya
Mila seorang pelajar sebuah IPT tempatan kepada seorang ustaz.
“Kalau kita buat jahat ada orang kutuk kita dak?” Ustaz itu menyoal Mila kembali.
“Buat jahat pun ada juga orang mengutuk kita.” Balas Mila kepada ustaz.
“Habis tu…bukankah lebih baik menjadi orang baik daripada menjadi
orang jahat, jika buat jahat pun dikutuk?” Ustaz cuba bertanya kepada
Mila.
“Ye tak ye jugak ek. Tapi kenapa, pengaruh orang sekeliling yang
bercerita berkenaan peribadi kita ni boleh membuatkan kita terganggu
setiap kali kita ingin berubah? Tanya Mila kepada Ustaz.
“Biasalah tu Mila. Manusia semuanya akan terus mengata. Kalau kita
asyik menilai perubahan kita dengan lidah manusia, maka fokus kita pasti
akan terganggu.” Jawab Ustaz.
Ustaz menyambung perbincangan semula.
“Ada satu kisah yang cukup popular antara
si anak, si ayah, dan seekor keldai. Ketika dalam satu perjalanan menuju
sebuah destinasi. Si ayah menarik keldai dan si anak menunggang diatas
keldai tersebut. Lalu di sebuah kampung. Kemudian orang kampung disitu
mengutuk si anak. Kata mereka sepatutnya anak yang menarik keldai dan
ayah yang tua itulah menunggang di atas keldai. Si ayah sedih dengan
kutukan lalu mengubah kedudukan. Ayahnya menunggang diatas keldai dan
anak berjalan kaki menarik keldai tersebut.
Sampai di satu kampung yang lain, orang kampung disitu mengutuk si
ayah. Kata mereka, sepatutnya ayah yang menarik keldai dan anak
menunggangnya, kerana anaknya masih kecil dan tidak larat. Sekali lagi
ayahnya menukar posisi mereka dengan kedua-dua mereka naik menunggang
keldai tersebut.

Tiba di satu kampung berlainan, sekali lagi mereka dikutuk oleh
penduduk disitu. Kata mereka, si ayah dan si anak itu zalim kerana
menyeksa keldai. Sepatutnya salah seorang dari mereka mesti berada
dibawah bagi meringankan beban keldai tersebut. Si ayah terus bingung.
Akhirnya mereka mengambil keputusan untuk kedua-dua mereka berjalan kaki
menarik keldai tanpa seorangpun menunggang keldai tersebut.
Namun, apabila masuk ke kampung berikutnya, sekali lagi mereka
dikutuk. Kata penduduk kampung itu, si ayah dan si anak sangatlah tidak
cerdik. Apa gunanya membawa keldai. Jika keldai tersebut hanya
melenggang tanpa membawa si anak mahupun si ayah menunggangnya. Sekali
lagi mereka bingung.
Itulah hakikat perjalanan hidup. Di mana sahaja kita berada, apa
sahaja keputusan kita pasti tidak mampu menutup mulut orang lain. Apatah
lagi memuaskan hati semua pihak.” Cerita ustaz dengan panjang lebar
kepada Mila.
“Habis tu macam mana ustaz? Apa kekuatan kita untuk berhadapan dengan kutukan ni. Saya ni jenis lemah semangat sikit kalau ada member-member yang menjeling dan mengutuk saya terus malu nak berubah. Bagila tips sikit.” Mila menyoal kembali kepada ustaz.
“Beginilah…kita ambil juga pengajaran daripada kisah si ayah, si anak
dan keldai tadi. Cuba bayangkan jika si ayah, anak dan keldai tadi
sudah meletakkan pelan perancangan perjalanan mereka. Contohnya, mereka
merancang untuk 5 kilometer pertama si ayah berjalan menarik keldai dan
si anak menunggang keldai sambil berehat. 5 kilometer berikutnya si anak
pula menarik keldai dan si ayah pula menunggangnya untuk bergilir
berehat.
Pada 5 kilometer seterusnya pula, si ayah dan si anak kedua-duanya
menunggang keldai untuk sama-sama mereka berehat. Dan akhirnya pada 5
kilometer terakhir si anak dan si ayah kedua-duanya turun berjalan kaki
menarik keldai untuk memberi peluang untuk keldai pula yang berehat.
Rasanya, jika ke mana sekalipun kampung yang dilalui, apa jua kutukan
yang diberi pasti tidak menggugat perasaan si ayah dan si anak
tersebut. Ini kerana itulah pelan asal mereka yang telah mereka
tetapkan. Bagi mereka, orang yang mengutuk mereka langsung tidak
mengerti apa pelan perjalanan mereka. Jadinya mereka dapat berjalan
tanpa mengiraukan walau apa jenis kutukan.
Daripada kisah ini, samalah jika Mila sendiri dari awal melakukan
perancangan rapi, persediaan tersendiri, mahupun strategi untuk berubah
dari awal…maka apa sahaja kutukan dari member Mila, langsung tidak
memberi kesan kepada perubahan Mila. Kerana member Mila tidak tahu
apakah strategi perancangan hidup Mila. Kalau ada juga yang mengutuk,
jawab sahaja kepada diorang… “Ada Aku Kisah!!?”
No comments:
Post a Comment