Islam tidak melarang golongan wanita bekerja mencari nafkah bagi
memenuhi keperluan hidup mereka dan juga demi membantu keperluan
keluarga. Hal ini disebutkan secara umum dalam al-Quran bahawa ALLAH SWT
berfirman: “Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang yang
beramal antara kamu, baik laki-laki mahupun perempuan, (kerana)
sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.” (Surah
Ali-Imran : 195)
Bagaimanapun terdapat syarat dan adab yang perlu dipatuhi umat Islam
dalam membenarkan Muslimah bekerja agar tidak berlaku fitnah dan
kerosakan seperti yang disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah
ada fitnah yang lebih berat bagi lelaki selepas peninggalan ku daripada
fitnah wanita.” (Muttafaq Alaih).
Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, perempuan adalah kelemahan
lelaki dan sumber kepuasan dan keseronokan bagi golongan tersebut.
Melihat perempuan sahaja sudah cukup menggembirakan lelaki apatah pula
apabila lelaki dapat bersama wanita dalam urusan pekerjaan mahupun
kehidupan.
Menurutnya, demi menjaga kehormatan dan kesucian kaum wanita, maka
terdapat tujuh syarat dan adab yang penting yang perlu diperhatikan bagi
Muslimah dalam pekerjaan.
“Pertama wanita tidak mengabaikan ibadah dan kewajipan syarak yang
ditetapkan ALLAH SWT dan Rasul-Nya seperti bertauhid, menjauhi syirik,
mendirikan solat, puasa, zakat, haji, menutup aurat dan menuntut ilmu.
“Kedua, pekerjaan tersebut bukanlah pekerjaan yang haram dan menyalahi
syariat Islam atau menyumbang kepada sesuatu yang haram
ataumembahayakannya. Tidak boleh bagi lelaki dan
perempuan melakukan sesuatu pekerjaan yang menyalahi syariat Islam atau
terlibat dalam menyumbang kepada sesuatu yang haram,” katanya kepada
penulis.
Tugas fitrah
Emran berkata, pekerjaan itu hendaklah tidak menghalang tugas fitrah
Muslimah sebagai isteri dan ibu. Di samping itu, dia bertanggungjawab di
sisi agama untuk melayani suami dan keluarganya melebihi
tanggungjawabnya lain selain menyembah ALLAH SWT.
“Fitrah maksudnya semula jadi dan ketetapan asal yang dijadikan ALLAH
secara fizikal dan mental bagi wanita termasuk keperluan hormon serta
kejiwaannya. Doktor dan pakar perubatan menyebutkan bahawa banyak
keburukan terjadi ke atas wanita yang tidak menyusukan anaknya termasuk
risiko kanser payu dara,” katanya.
Beliau yang juga pensyarah di sebuah institut pengajian tinggi awam
berkata, hendaklah pekerjaan yang diceburi itu tidak memberikan tekanan
kepada seorang perempuan atau menyekatnya daripada berkahwin (jika
belum) dan melahirkan anak. Hal yang sedemikian adalah kewajipannya
terhadap agama, fitrah dan keluarga.
“Ramai wanita berkerjaya hari ini melewatkan perkahwinan kerana terikat
dengan kerja dan situasi pekerjaan yang tidak memberi sokongan kepada
perkahwinan. Hal ini tidak bagus khususnya kepada wanita yang mempunyai
tempoh terhad untuk melahirkan anak iaitu sebelum umur 40 tahun
(menopaus) dan pakar perubatan menyebutkan bahawa perkahwinan lewat
memberi risiko anak cacat dan ketidaksuburan serta pelbagai lagi
keburukan,” katanya.
Antara lain syarat perlu diberi perhatian adalah mengutamakan bernikah
dan menetap diri di rumah (tidak bekerja) jika berkemampuan, kecuali
jika ada keperluan dan kepentingan terhadap keluarga, agama dan
masyarakat.
“Seeloknya bagi wanita perlu elakkan diri daripada bercampur dengan
lelaki. Bahkan lebih afdal bagi wanita untuk bersolat di rumahnya
berbanding di masjid. Selain itu bagi anak gadis adalah menjadi
auwlawiyat (keutamaan) untuk mendahulukan nikah dan perkahwinan sebelum
pekerjaan.
"Mereka yang belum bernikah maka nafkah dirinya adalah di bawah
tanggungjawab wali mereka kecuali kerana kemiskinan dan walinya tidak
mampu,” katanya.
Batasan pergaulan
Bagi yang ingin bekerja juga, Emran berkata, perlu menjaga batasan
pergaulan dengan kaum lelaki dan tidak berhubung kecuali atas keperluan
dan pekerjaan. Menurutnya, ALLAH menetapkan bahawa lelaki dan wanita
harus menjaga batasan dan tidak berhubung kecuali dalam hal yang
dibenarkan. Wanita hendaklah menundukkan pandangan dan mengelak diri
daripada bertembung dengan lelaki atau bersama mereka bersendirian yang
boleh menimbulkan fitnah.
“Hal ini bermaksud adab seorang perempuan itu dengan memelihara dirinya
daripada bergaul bebas dengan lelaki seperti makan sekali, berjalan
berdua-duaan, menaiki kereta dan kenderaan yang sama tanpa mempunyai
ikatan yang sah.
"Perbualan yang tidak membawa manfaat dan keperluan hendaklah dielakkan
kerana sesungguhnya dosa zina itu selalunya bermula dengan penglihatan
dan percakapan,” katanya.
Wanita itu perlulah menutup aurat dengan sempurna dan menjaga cara
berpakaian, perbuatan dan perbicaraan serta pergerakan mereka apabila
berada di hadapan bukan mahram serta di luar rumah.
“Hendaklah wanita yang bekerja menutup aurat dengan sempurna dan
menjaga bahagian anggota badannya daripada pandangan lelaki. Ini kerana
sesetengah wanita memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk
badan mereka dan hal itu ialah haram,” katanya.
Satu lagi perkara yang selalu dipandang enteng oleh wanita ialah
larangan memakai minyak wangi dan haruman yang kuat dan boleh dihidu
lelaki. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Mana-mana wanita
yang memakai wangi-wangian dan lalu pada sekumpulan manusia supaya
lelaki tadi itu menghidu bau wanginya maka wanita tadi mendapat dosa
zina." (Riwayat Tirmizi dan Ahmad - hasan)
Kesimpulannya, Islam membezakan peranan lelaki dan perempuan. Ini
ditegaskan sebagaimana ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tatkala
isteri ‘Imran melahirkan anaknya, dia pun berkata: “Ya Tuhanku,
sesungguhnya aku melahirkannya seorang anak perempuan; dan ALLAH lebih
mengetahui apa yang dilahirkannya itu; dan anak laki-laki itu tidaklah
sama seperti anak
perempuan.” (Surah Ali-Imran : 36)